HARAPKAN PAGAR : PAGAR MAKAN PADIAnggota
polis didakwa cuba rogol anak saudara
KUALA LUMPUR 14 Sept. – Seorang anggota polis tambahan berpangkat
konstabel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan
cuba merogol dan mencederakan anak saudaranya sendiri
pada awal Januari
lalu.
Tertuduh yang berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Anita Harun.
Dia yang bertugas di Bengkel Polis Pudu di sini didakwa cuba merogol
anak saudaranya yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam
sebuah kereta jenis Proton Wira di Jalan Stadium Merdeka, antara pukul
10 dan 12 tengah malam, 2 Januari lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376
Kanun Keseksaan dan dibaca
bersama Seksyen 511 kanun yang sama. Jika disabitkan kesalahan, dia
boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebatan.
Dia turut didakwa mendatangkan kecederaan pada mangsa dengan
menampar pipi, mencekik leher, menggigit lutut, peha, betis dan anggota
badan yang lain pada masa dan tempat yang sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan
yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak
melebihi RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Ariffin Hisham yang sebelum itu
membantah sebarang jaminan memohon supaya tertuduh dikenakan ikat jamin
RM30,000 serta syarat-syarat tambahan sekiranya mahkamah ingin
menggunakan budi bicara.
Anita membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dan
mengarahkan dia melaporkan diri ke bahagian tatatertib Balai Polis Desa
Tasik setiap Isnin dan Khamis selain tidak dibenar mengganggu saksi
pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 23 Oktober depan untuk sebutan bagi tertuduh melantik peguam
Resensi lain tentang Utusan Malaysia