• Daftarkan diri
  • ‎Apakah Shvoong itu?‎
  • Masuk
    Masuk
    Ingat user ID ini. Lupa password anda?

Buat rangkuman pengetahuan manusia di Shvoong.

.

.

Berselawat

oleh : yantogibson    

Pengarang : lupa
Kelebihan berselawat
MENGIKUT perintah Allah dan mendukung amanat Rasulullah adalah iltizam yang mesti disebatikan dalam
sanubari umat Islam. Ia mesti dicerminkan dalam amalan teras dan wajib sebagai bukti pengabdian sepenuhnya kepada keagungan Allah.
Mengingati Allah bermakna mentaati perintah-Nya. Kita memuji Allah dengan lafaz seperti "Allah Maha Besar dan Allah Maha Suci" dalam doa dan zikir. Kita juga memuji Rasulullah dengan berselawat sepanjang masa.
Kita dituntut berselawat terhadap Rasulullah dan amalan itu mendatangkan pahala besar dan syafaat tinggi kepada individu. Amalan ini mestilah disebatikan hingga menjadi darah daging, tetapi jangan dijadikan sebagai jalan keluar dengan melupakan amalan teras.
Mereka yang berselawat diberi banyak fadilat dan ini diakui oleh Rasulullah. Baginda bersabda kepada malaikat yang bermaksud: "Apabila seseorang mukmin membaca selawat sekali untukku, maka selawat itu akan diambil oleh malaikat Izrail dengan izin Allah dan akan disampaikan ke kuburku.
"Maka berkata malaikat itu, Wahai Muhammad, seseorang sudah pun membaca selawat untukmu. Lantas dijawab oleh Muhammad: Aku akan membalasnya dan sewajarnya orang itu mendapat syafaat daripadaku."
Rasulullah meminta malaikat menyampaikan 10 selawat kepada orang itu. Kemudian malaikat pergi ke arasy menyampaikan peristiwa itu kepada Allah. Allah meminta malaikat menyampaikan 10 lagi selawat.
Dalam satu peristiwa lain, malaikat Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail menemui Rasulullah dengan membawa perutusan Allah. Intisari perutusan itu mengandungi fadilat selawat yang diperkenankan Allah.
Menurut Jibril, sesiapa yang berselawat kepada Rasulullah setiap hari 10 kali, maka akan dibimbing tangannya bagi melintasi jambatan Sirat-al-Mustaqim seperti kilat.
Mikail pula memberi jaminan akan memberi minuman daripada telaganya kepada mereka yang berselawat. Israfil memberitahu Rasulullah dia akan sujud kepada Allah dan tidak mengangkat kepalanya sehingga Allah mengampuni dosa mereka yang berselawat.
Izrail akan mengambil nyawa mereka yang berselawat sebagaimana dia mengambil nyawa nabi. Begitulah perlindungan Allah kepada mereka yang berselawat.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat yang ramai, 70 daripadanya diperintahkan berjalan di muka bumi untuk menyampaikan selawat daripada umatku. Apabila seorang daripada umatku berselawat ke atasku 100 kali sehari, maka Allah akan mengabulkan 100 hajatnya, 70 di akhirat dan 30 lagi di dunia."
Dalam satu lagi peristiwa, seorang lelaki kelihatan berselawat di merata tempat di Makkah sambil memakai ihram. Lalu dia ditegur Fudail bin Yaad: "Setiap tempat mempunyai bacaannya yang tersendiri ketika menunaikan fardu haji, tetapi mengapa engkau membaca selawat?
Menurut lelaki itu, dalam perjalanan ke Baitullah, ayahnya sakit dan terus meninggal dunia. Dia menutup muka ayahnya dengan kain. Apabila dibuka, wajah ayahnya bertukar menjadi wajah serigala. Malamnya, dia bermimpi bertemu seorang remaja kacak.
Remaja itu bertanya masalahnya. Sesudah dijelaskan, lelaki itu menghampiri jenazah ayahnya dan mengusap wajahnya. Lantas wajah itu berubah menjadi seperti sinaran bulan. Rupa-rupanya yang menjelma itu ialah Muhammad.
Dijelaskan oleh Rasulullah bahawa ketika hidupnya, ayah lelaki itu sentiasa mengamalkan perbuatan riba. Mukanya menjadi serigala atas hukuman Allah, tetapi sepanjang hidup, ayahnya tidak pernah lekang daripada berselawat 100 kali sebelum tidur. Dengan izin Allah, Muhammad meminta supaya insan itu diberi syafaat.
Dalam kisah lain, seorang lelaki bermimpi melihat Rasulullah, tetapi baginda enggan memperlihatkan wajahnya. Lantas lelaki itu berkata: "Mengikut ulama, Rasulullah mengenali umatnya seperti ibu bapa mengenali anaknya." Rasulullah menjawab: Memang benar, tetapi jika membaca selawat."
Seorang lelaki pernah bertanya Rasulullah berapa banyakkah selawat yang harus dibacanya. Rasulullah menjawab: "Sekehendakmu". Lelaki itu terus bertanya: "Berapa, seperempat, setengah?"
Rasulullah menjawab: "Sekehendakmu, tetapi lebih banyak lebih bagus. Selawatmu itu boleh menghilangkan perasaan susahmu dan diampuni dosamu." Di sini jelas menunjukkan selawat itu adalah penawar bagi segala kesusahan dan ubat bagi segala penyakit.
Oleh itu, wajarlah ia dijadikan kebiasaan hingga menjadi darah daging. Bagi kesejahteraan bersama, marilah kita hayati amanat ini:
• Bacalah selawat di mana jua, jika tidak kita rugi sehingga tidak nampak jalan ke syurga.
• Berpisahlah dengan bacaan selawat, jika tidak perpisahan itu berbau lebih busuk daripada bangkai.
• Banyakkan selawat di rumah supaya rumah tangga tidak menjadi seperti kubur.
• Banyakkan selawat setiap Jumaat kerana ia akan dipamerkan kepada Rasulullah.
• Setiap doa kepada Allah hendaklah disertakan dengan selawat, jika tidak doa akan dikembalikan.
• Berselawatlah kerana ada tiga kekecewaan yang menimpa seseorang jika tidak waspada, iaitu kencing berdiri, bersikap terburu-buru mengusap dahinya sebelum selesai solat dan seseorang yang mendengar namaku disebut lalu tidak membaca selawat untukku.
Diterbitkan di: Agustus 13, 2009
Mohon ringkasan ini dinilai : 1 2 3 4 5

Bookmark & share this post

.